Satu lagi PPK akan dibina di Bongawan selepas Selagon Beaufort - TPM

 

PAPAR: Sebuah Pusat Penempatan Kekal (PPK) akan dibina bertempat di Bongawan, Membakut bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau melihat keperluan untuk menambah Pusat Penempatan Kekal (PPK) di negeri ini dan akan dimulakan di Bongawan terlebih dahulu.

Menurutnya, pembinaan terbabit akan dimulakan pada tahun ini berikutan peruntukan telah diperolehi namun pada masa sama perlu mengikuti prosedur peraturan kerajaan yang ada.

"Lokasinya akan kami bincangkan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga Pegawai Daerah. Saya telah melakukan lawatan ke beberapa PPS.

"Saya dapati oleh kerana Bongawan merupakan salah satu kawasan yang sering banjir dan keperluan untuk membina PPK itu adalah sangat penting.

"Selain daripada itu saya akan mengadakan perbincangan untuk di kawasan-kawasan dan daerah lain juga di Sabah ini untuk membina PPK.

"Ia bergantung pada peruntukan yang akan disalurkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selepas melawat waris mangsa kejadian tanah runtuh Kampung Mook bertempat di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Kampung Mook, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Safar Untong.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata berdasarkan tinjauan pihaknya di beberapa PPS, beliau berkata insiden banjir dan tanah runtuh melanda Sabah baru-baru ini dijadikan sebagai panduan untuk mempertingkatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) kerja ketika bencana.

"Ini satu pengalaman yang mungkin harus dijadikan sebagai satu 'template' atau acuan supaya manual (kerja) kami menyelamat atau melakukan kerja semasa banjir dapat dilakukan dengan cepat.

"Ini sebagaimana yang sedang kita lihat di tujuh daerah yang mengalami banjir di Sabah," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama