Semua ahli dorm lihat Zara menangis kerana dituduh mencuri - Pelajar A

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner, pada Selasa diberitahu bahawa semua ahli dorm melihat arwah menangis teresak-esak selepas dituduh mencuri pada malam 15 Julai lalu.

Saksi kanak-kanak pertama hadir memberi keterangan dan ditemani bapanya.

Peguam Keluarga Ibu Zara, Shahlan Jufri berkata, saksi pertama (Pelajar A) memaklumkan, Zara telah dipanggil ke dorm lain sekitar jam 9 hingga 10 malam untuk disiasat oleh senior berhubung kes kecurian melibatkan dua pelajar.

“Zara tidak mengaku mencuri. Selepas kembali ke dorm, dia menangis dengan kuat sambil menjerit menafikan tuduhan itu.

“Semua ahli dorm mendengar dan melihat keadaan Zara ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding sesi petang dijalankan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Namun, menurut saksi, tiada seorang pun ahli dorm yang menenangkan atau memujuk Zara walaupun ketika itu semua masih belum tidur.

Saksi turut memaklumkan bahawa selepas dia sendiri tertidur, dia tidak lagi melihat Zara sehingga keesokan paginya.

Sementara itu, Shahlan ketika ditanya berkenaan keterangan saksi pertama, menyatakan bahawa pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

“Ya, kami berpuas hati kerana dia mengesahkan Zara dalam keadaan tertekan, menangis dan menjerit menafikan tuduhan mencuri sebelum insiden tragis itu berlaku,” katanya.

Inkues yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Koroner, Amir Shah Amir Hassan, akan bersambung hari ini dengan keterangan daripada saksi kanak-kanak kedua yang hadir ditemani ibunya. ‎

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama