Saja 'cari penyakit' pasangan warga China hantar e-mel ugut ancaman bom kena cekup

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin.

TAWAU : Sepasang pelancong warga China ditahan polis selepas dipercayai menghantar e-mel ugutan mendakwa terdapat bom dalam sebuah pesawat syarikat penerbangan swasta, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis menerima laporan daripada kakitangan syarikat penerbangan itu pada kira-kira 3 petang semalam sebelum berjaya mengesan dan menahan pasangan terbabit. 

Menurutnya, suspek ditahan di sebuah hotel di pekan Semporna pada jam 8.30 malam hari sama sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awam mendapati, suspek masing-masing wanita berusia 28 tahun dan lelaki berusia 29 tahun itu didakwa terlebih dahulu menghubungi ejen pelancongan untuk menukar tempat duduk penerbangan mereka namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Berikutan itu, mereka menghantar e-mel ke Ibu Pejabat syarikat penerbangan terbabit di Kuala Lumpur dengan mendakwa terdapat bom dalam pesawat yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sin hari ini.

Jasmin berkata, perintah reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum sehingga 27 Sept ini bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

"Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo X200 Pro Mini warna Merah jambu untuk siasatan lanjut,' katanya sambil memaklumkan pasangan itu bercuti di Semporna dan dijadualkan menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur  hari ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama