Pasukan kedua pakar forensik dokumen hadir, sahkan kesahihan diari

KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, hari ini menyaksikan kehadiran pasukan kedua pakar forensik dokumen di Mahkamah bagi memastikan kesahihan bahan bukti, khususnya diari dan buku catatan milik remaja itu.

Peguam keluarga Zara, Peguam keluarga Zara, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan sebarang keraguan berhubung dokumen berkenaan memandangkan ia telah beberapa kali berpindah milik sejak mula ditemui.

“Tujuannya untuk elak sebarang keraguan dan memuktamadkan kesahihan dokumen, terutama diari Zara yang kita tahu sudah banyak kali bertukar tangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.

Pasukan forensik yang dilantik terdiri daripada pakar pemeriksa dokumen berpengalaman iaitu Madam Teh daripada U-CAM serta dua pensyarah kanan Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zulkifli Ismail dan Dr. Wan Suhaillah.

Menurutnya, antara aspek yang diteliti termasuk analisis dakwat, jenis pen digunakan serta pemeriksaan terhadap buku catatan bertajuk Love and Peace yang turut menjadi bahan bukti dalam prosiding.

“Kita tengok analisis dakwat, pen yang digunakan, sama ada lipatan, adakah terdapat kesan diubah, ditambah atau dikurangkan. Sebahagian daripada itu, kita juga mendapatkan replika,” katanya.

Beliau berkata, pasukan berkenaan turut membawa peralatan makmal forensik mudah alih dari Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan lebih terperinci.

“Selain daripada dakwat, mereka menggunakan peralatan seperti Ultra Violet Ray Infrared, Ultraviolet dan Electrostatic Detection Device (EDD),” jelasnya.

Sebelum ini, seorang pakar pemeriksaan dokumen, Dr. Linthini Gannetion, turut membantu pasukan peguam keluarga Zara meneliti tiga diari, satu buku catatan serta 15 helaian kertas mengandungi tulisan tangan remaja terbabit.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama