‘Saya akan jelaskan bila tiba masanya’ - Shafie sahkan terima surat AGC kes Zara

Shafie sewaktu ditemui media pada sidang media khas di Kota Kinabalu, hari ini

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, mengesahkan menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina.

Menurut Shafie, surat itu diterima semalam dan memberinya tempoh seminggu untuk menjawab. Beliau berkata pengumuman lanjut akan dibuat sebelum tempoh tersebut berakhir.

"Ya, saya sudah menerimanya, semalam. Mereka beri saya tempoh seminggu untuk menjawab.

"Sebelum tarikh itu, saya akan membuat pengumuman, jangan risau," katanya

Shafie menegaskan beliau menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan lanjut dan memastikan semuanya mengikut undang-undang.

“Nanti, bila tiba masanya, saya akan jelaskan. Saya telah serahkan perkara itu kepada peguam saya dan semuanya dalam tindakan. Jangan bimbang, ini bukan isu utama sekarang.

"Surat berkenaan daripada Peguam Negara. Jangan risau tentang hal itu. Sebagai ahli politik, saya hanya mahu memastikan segala-galanya dilakukan dengan betul. Namun, saya tidak mahu mengulas lanjut sekarang,” katanya.

Terdahulu, AGC memaklumkan pihaknya sedang meneliti kenyataan Shafie yang dibuat semasa program Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September lalu.

AGC berkata, kenyataan itu berpotensi menimbulkan persepsi tidak tepat dalam kalangan orang ramai dan boleh mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

“Jabatan ini tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah jika perlu,” menurut kenyataan AGC semalam.

Minggu lalu, Mahkamah Koroner menangguhkan inkues kematian Zara Qairina Mahathir selepas maklumat sulit mengenai seorang saksi kanak-kanak tersebar dalam talian.

Inkues itu yang memasuki hari ke-10 pada Jumaat lalu ditangguhkan tengah hari dan bersambung semula Isnin.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asramanya pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokan harinya akibat kecederaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama