Hajiji kasi ‘cancel’ - Albert Tei beritahu Jeffrey pembatalan lesen penerokaan mineral



KOTA KINABALU: Pendedahan seorang ahli perniagaan berkaitan rakaman perbualannya dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, turut mengaitkan keputusan kerajaan negeri membatalkan lesen penerokaan perlombongan yang sebelum ini ni diberikan kepada syarikatnya.

Dalam rakaman pertemuan di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2024, ahli perniagaan terbabit, Albert Tei, dilapor mengimbas kembali pelaburan syarikatnya yang mencecah RM7.7 juta sehingga Mei tahun lalu. 

Melalui rakaman dimuatnaik oleh portal MalaysiaKini tersebut, Tei mengatakan telah memberikan wang kepada Jeffrey sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2020.

"Semua saya sudah support Datuk, saya sudah serah, bagi Datuk RM1.6 juta," katanya.

Namun selepas pilihan raya itu katanya, beberapa lesen penerokaan telah dibatalkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Selepas pilihan raya umum, Datuk ingat kita dapat itu... yang dengan Yayasan Sabah, yang Hajiji kasi cancel itu. Itu tidak apa Datuk, ini RM7 juta macam mana? ini yang besar Datuk,” katanya dalam rakaman berkenaan.

Difahamkan, pembatalan lesen penerokaan berkenaan menjadi antara punca perbincangan Tei dengan Jeffrey yang ketika itu dilihat tidak memberi pengesahan atau penafian terhadap butiran yang disebut dalam perbualan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan negeri menegaskan semua aktiviti penerokaan perlombongan memerlukan kelulusan penuh dan tertakluk kepada dasar semasa, termasuk faktor keselamatan, kepentingan awam serta kelestarian alam sekitar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama