![]() |
James (tengah) menunjukkan Kit Pengurusan Bencana ketika ditemui media. |
PENAMPANG : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihkan 1,500 unit Kit Pengurusan Bencana kepada mangsa banjir.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, kit itu diperlukan bagi memastikan keperluan mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terjamin.
"Pada hari ini, saya berkesempatan untuk melawat tiga PPS iaitu PPS Dewan Meruntum, Putatan dan PPS Dewan Huguan Siou Kg Tuavon bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman seterusnya PPS Kompleks Sukan Penampang.
"Di sini, kita telah mengagihkan Kit Pengurusan Bencana yang mengandungi keperluan asas seperti bantal, selimut serta barangan keperluan asas lain yang diperlukan sepanjang berada di PPS.
"Setakat ini, JKM sudah mengeluarkan 1,500 Kit Pengurusan Bencana dan diedarkan di semua kawasan - kawasan yang terlibat dengan bencana banjir.
"Agihan kit dan sumbangan berterusan membolehkan mangsa lebih bersedia ketika menghadapi bencana,” ujarnya ketika ditemui media selepas lawatan ke PPS Kompleks Sukan Penampang di sini, pada Selasa.
PPS berkenaan menempatkan seramai 25 Ketua Isi Rumah dengan jumlah keseluruhan 151 mangsa.
James memaklumkan, pihaknya turut mempertimbangkan cadangan menambah tenaga kerja untuk ditempatkan di PPS.
“Kita akan ambil pegawai sukarela di setiap PPS bagi menampung kekurangan pegawai tetap di pusat pemindahan sementara ini,” tambahnya.
Dalam kunjungan berkenaan, James turut mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada mangsa yang terlibat.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jais Asri dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)