Prosiding mahkamah tidak jejaskan tugas wakil rakyat – Yusuf Yacob

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusuf Yacob, menegaskan prosiding mahkamah yang sedang dihadapinya tidak menjejaskan kelayakan serta peranannya sebagai wakil rakyat untuk terus aktif berpolitik.

Beliau berkata, prinsip undang-undang jelas bahawa seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

“Kerana apa-apa yang berlaku pun masih tertakluk kepada keputusan mahkamah. Jadi aktiviti politik kami tetap diteruskan.

“Ia juga tidak menghalang kami menjalankan tugas sebagai Ahli Yang Berhormat (YB), ADUN, pembantu menteri kepada YB Datuk Andi dan bertugas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kami berkhidmat,” katanya 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan kononnya beliau tidak layak menjadi calon pada pilihan raya akan datang, Yusuf menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.

“Kami yakin dengan pendirian kami adalah betul. Ini tidak menghalang kami untuk menjadi calon juga.

“Jadi aktiviti politik kami tetap diteruskan, manakala tuduhan kononnya saya tidak boleh menjadi calon adalah fitnah,” jelasnya.

Sementara itu, peguam bela, Datuk Ram Singh, memohon mahkamah supaya mengeluarkan perintah larangan (gag order), namun mahkamah tidak mengeluarkan arahan tersebut.

Terdahulu, Yusuf didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM200,000 bagi membantu permohonan lesen mencarigali mineral sebuah syarikat, Nusa Kini Sdn. Bhd., di Sabah pada 6 Mac 2023.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama