6,249 kehamilan direkod rawatan infertiliti LPPKN tahun lalu

 

Juliah ketika menyampaikan ucapannya.

TUARAN: Sebanyak 6,249 kehamilan berjaya direkodkan hasil rawatan infertiliti di Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara pada tahun lalu.

Isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS), Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata seramai 29,163 individu telah menjalani rawatan berkenaan di klinik-klinik LPPKN di seluruh negara.

“Sehubungan itu, LPPKN melaksanakan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BUAI) yang menyasarkan 30,000 pasangan mendapat manfaat secara langsung.

“Daripada jumlah ini, 1,300 pasangan menerima pembiayaan sehingga dua kitaran rawatan Intrauterine Insemination (IUI). 

"Program ini turut menekankan advokasi awal melalui kempen ‘Lebih Awal, Lebih Baik’, bagi menggalakkan pasangan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan seawal mungkin,” katanya ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Dari Keluarga Untuk Komuniti sempena Pelancaran Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) Peringkat Negeri Sabah di Dewan Seri Sulaman, pada Rabu.

Acara itu merupakan siri terakhir program berkenaan yang dianjurkan di seluruh negeri oleh LPPKN dengan kerjasama MUTIARA-GRS.

Menurut Juliah, laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan seorang daripada enam pasangan berkahwin di negara ini menghadapi masalah kesuburan, sekali gus membuktikan isu itu bukan terpencil.

“Sebaliknya, ia cabaran yang semakin meningkat dalam kalangan pasangan muda hari ini. Maka, usaha advokasi dan bantuan klinikal amat penting supaya pasangan tidak berasa terpinggir,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap penyertaan masyarakat setempat termasuk dari kawasan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu yang hadir ke program itu.

“Ini menunjukkan kesungguhan komuniti kita membincangkan isu penting iaitu kesuburan dan kesejahteraan keluarga,” ujarnya.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Panglima Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk  Joniston Bangkuai, Pengarah LPPKN Negeri Sabah K Saharom.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama