![]() |
| Mayat mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi awal dilaporkan hilang pada kedalaman tiga kaki dipercayai tersangkut di celah batu. Foto | Ihsan Bomba. |
TAWAU : Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di sebuah pusat riadah dekat Balung, Batu 24 Jalan Apas, di sini petang tadi, ditemukan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.24 petang sebelum 10 anggota digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, pasukan tiba di tempat kejadian kira-kira sejam kemudian dengan kekuatan sepuluh anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah pacuan empat roda (Vigo) sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
"Mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi awal dilaporkan hilang pada kedalaman tiga kaki dipercayai tersangkut di celah batu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditamatkan pada 5.35 petang.
