KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina, minta orang ramai agar bersikap berhemah ketika memberi pandangan berhubung prosiding inkues yang sedang berjalan.
Peguam bela, Rizwandean M Borhan berkata, sebarang perbezaan pendapat terhadap keterangan saksi perlu disampaikan dengan sopan, tanpa menghina atau mengugut pihak yang terlibat.
“Kita faham isu ini menarik perhatian ramai, tetapi jangan sampai ada yang menghina atau mengugut saksi.
“Kalau tidak setuju dengan keterangan, debatlah dengan secara beradab dan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Menurutnya, keterangan hari ini dimulakan dengan seorang doktor dari Jabatan Forensik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang menjelaskan mengenai isu bedah siasat.
Katanya, saksi ketujuh itu memaklumkan bahawa penjelasan mengenai keperluan menjalankan bedah siasat telah diberikan kepada keluarga.
“Namun, anak guam kami menegaskan, ibu Zara tidak pernah diberikan penjelasan tentang keperluan itu ketika Allahyarhamah meninggal dunia di hospital.
“Doktor mempunyai pandangan berbeza, tetapi kami kekal dengan pendirian bahawa tiada penjelasan diberikan kepada keluarga pada ketika itu,”jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan memberikan sebarang ulasan mengenai saksi kelapan dalam prosiding inkues kerana keterangan ketua warden itu masih berjalan.
“Bagi ketua warden, kami tidak mahu komen dahulu sebab keterangan masih berjalan. Lebih adil jika tunggu sehingga selesai esok,” tambahnya.
Inkues kematian Zara yang kini memasuki hari kelapan, dijadualkan bersambung esok bagi mendengar keterangan Ketua Warden, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha (SMKATDML), Azhari Abd Sagap.