Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Hj Jaafar berkata, bekalan akan dipulihkan secara berperingkat mengikut kawasan bagi memastikan kestabilan sistem serta keselamatan operasi.
Katanya, pasukan teknikal SESB sedang memantau rapi proses pemulihan ini dan menyelaras penghantaran tenaga agar setiap kawasan menerima bekalan secepat mungkin tanpa menjejaskan aspek keselamatan.
"Kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pasukan teknikal di lapangan, barisan pengurusan serta warga kerja yang menyelaras operasi di pejabat dan kawasan terlibat.
“Tidak dilupakan, sokongan padu daripada para pengguna, Kerajaan Negeri Sabah serta Lembaga Pengarah SESB yang banyak membantu melancarkan usaha pemulihan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, beliau memohon orang ramai terus mendoakan usaha pencarian seorang petugas SESB yang dihanyutkan arus deras ketika menjalankan tugasan di Keningau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengguna atas kesabaran dan sokongan sepanjang tempoh mencabar ini.
"Saya menasihatkan mereka yang masih mengalami gangguan bekalan agar menghubungi talian 15444 atau melalui aplikasi mudah alih Sabah Electricity," katanya.