KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan keterangan saksi remaja pertama yang menyifatkan dirinya sebagai kawan rapat Allahyarhamah, namun belum menjadi teman karib (BFF).
Saksi berkenaan, dikenali sebagai Pelajar A, membuat kenyataan itu di hadapan Hakim Mahkamah Koroner, Amir Shah Amir Hassan, ketika prosiding berlangsung di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Peguam bela, Joan Goh, ketika ditemui berkata pihaknya mengambil maklum perkara itu kerana saksi berkenaan pernah bermalam di rumah Zara pada 12 Julai lalu.
“Oleh kerana dia menghabiskan malam di rumah Zara, kami turut berbincang mengenai perkara itu.
“Saksi beri keterangan tentang apa yang berlaku pada malam itu dan perkara berkaitan buli di sekolah” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peguam bela, Datuk Ram Singh, berkata pemerhatian pihaknya mendapati saksi remaja itu kekal tenang sepanjang dua hari memberi keterangan.
“Dalam beberapa isu, dia ditanya berulang kali oleh beberapa peguam yang berbeza, namun jawapannya tetap konsisten.
“Ini menunjukkan keterangannya sangat jelas,” katanya.
Prosiding inkues dijangka bersambung pada sebelah petang dengan keterangan daripada saksi remaja kedua.