Proses baik pulih kerosakan bangunan IPG Gaya dipercepatkan - Anwar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agar kerja membaik pulih kerosakan melibatkan bangunan yang terjejas berpunca daripada insiden tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya baru-baru ini dipercepatkan.

Menurutnya, beliau sedang menunggu laporan penuh yang berhubung perkara itu daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Disamping itu, beliau juga menegaskan pihaknya mahu laporan itu dihantar dengan kadar segera.

"Mengenai IPG ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) telah mengemukakan laporan awal ke Jemaah Menteri hari Rabu yang lalu.

" Kita menunggu laporan akhir yang saya minta semuanya segera," katanya.

Menurutnya, pihaknya mahu kerja membaik pulih terbabit dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa.

"Saya tidak mahu ikut proses biasa kerosakan (bangunan akibat tanah runtuh) ini bukan proses biasa. 

" Kalau kita ikut proses biasa mahu siapkan jalan (atau) kemudahan (akan ambil masa) terlalu lama. Oleh itu, kita sudah minta supaya proses ini dipercepatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan lokasi kejadian tanah runtuh IPG Kampus Gaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata perundingan secara lanjut berkenaan perkara terbabit akan dilakukan bersama kerajaan negeri setelah menerima laporan penuh nanti.

"Soal prasarana termasuk jalan dan IPG ini satu keutamaan. Kita tunggu laporan daripada (pihak) kejuruteraan sama ada boleh kekal bangunkan semula (bangunan terjejas) di sini.

"Atau pun kita akan runding dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan satu kawasan baru untuk dibangunkan (semula bangunan IPG Kampus Gaya) dalam tempoh segera," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut ditanya pemberita mengenai anggaran kos membaik pulih kerosakan namun beliau berkata jumlah anggaran kos belum dikemukakan kepada pihaknya lagi setakat ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama