KOTA KINABALU: PKR Sabah menyifatkan tindakan bekas Naib Ketua Cabang Tiga Sepanggar, Remy Martin Gunsalam, keluar parti dan menyertai Parti Warisan (WARISAN) bukan satu kehilangan besar, sebaliknya pilihan peribadi beliau untuk mengejar cita-cita politik lebih cepat.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Peto Galim, berkata Remy hanyalah ahli baharu yang menyertai parti itu tahun lalu sebelum diberi peluang memegang jawatan Naib Ketua Cabang berdasarkan potensi kepimpinan serta kuota Kadazan Dusun Murut (KDM).
Namun, katanya, penglibatan Remy dalam aktiviti parti sangat minimum dan beliau jarang menghadiri mesyuarat atau memberi komitmen terhadap agenda parti di kawasan Sepanggar.
“Beliau bukan tokoh besar dalam PKR Sepanggar. Kita lantik dia kerana nampak ada potensi, tetapi kehadiran dan kerjasamanya sangat terhad. Jadi bila beliau keluar, ia tidak menjejaskan kekuatan parti.
“Kita terima perletakan jawatannya dengan hati terbuka dan ucapkan selamat maju jaya. Ini hak beliau untuk memilih platform politik lain,” katanya pada sidang media, di sini.
Peto menegaskan PKR Sabah tidak gusar dengan tindakan itu kerana parti mempunyai ramai pelapis muda yang lebih komited serta bersedia menggalas tanggungjawab di peringkat akar umbi.
“Remy ada membantu parti ketika pemilihan, tetapi pengaruhnya tidak meluas. PKR tidak bergantung kepada seorang individu. Malah, kita sedang memperkukuh barisan kepimpinan baharu yang lebih fokus dan berdisiplin,” katanya.
Beliau turut menyindir bahawa langkah Remy menyertai WARISAN hanyalah keputusan politik peribadi yang tidak memberi kesan langsung kepada perjuangan PKR di Sabah.
“Bagi kami, ini bukan kehilangan besar. PKR tetap utuh dan kita terus bergerak dengan agenda membela rakyat,” katanya.