34 tahun berkuasa di Sabah, BN lebih utamakan pembangunan di ‘seberang' - Mazlan


KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) tidak perlu bersikap 'mendabik dada' kononnya berjaya membangunkan Sabah sedangkan negeri ini masih jauh ketinggalan biarpun parti itu mentadbir selama lebih 34 tahun.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan berkata BN ketika itu juga cukup berkuasa, namun jurang kemajuan antara Semenanjung dan Sabah amat jauh berbeza.

"Janganlah BN banggakan sangat dengan Pan Borneo yang belum siap hingga kini untuk Sabah, di Semenanjung Malaysia rakyatnya sudah lama menikmati kemudahan lebuhraya.

"Janganlah dibanggakan dengan SOGIP dan Taman Perindustrian lainnya, di Semenanjung Malaysia ada pelbagai industri dan Taman Perindustrian diwujudkan yang dinikmati oleh rakyat di sana.

"Semua perbezaan ini cukup ketara atas dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN yang dibanggakan mereka, tidak adil dan hanya mementingkan pembangunan di seberang sana.

"Sabah ini kaya, kalau pimpinan BN ikhlas memajukan Sabah, sudah lama Sabah ini maju dan kehadapan berbanding negeri-negeri di Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kerajaan negeri yang diterajui Gagasan Rakyat Sabah (GRS) telah melakukan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan hasil ekonomi negeri dan memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat secara langsung.

"Banyak langkah dan inisiatif ini tidak dilaksanakan pun oleh kerajaan terdahulu iaitu kerajaan BN.

"Mempelbagaikan sumber ekonomi Sabah, agar Sabah suatu hari nanti dapat membangunkan wilayah ini sendiri tanpa bergantung kepada Putrajaya.

"Kesepaduan dikalangan rakyat Sabah dan pimpinan politik Sabah adalah kunci utama untuk membawa lebih banyak kemajuan kepada wilayah ini di masa depan," katanya.

Susulan itu, Mazlan berkata rakyat serta politik negeri ini harus menjadi tunjang dan teraju utama dalam melakar perubahan dan kemajuan lebih baik kepada Sabah.

Terdahulu, Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa BN yang dikatakan 'parti Malaya' cemerlang mentadbir Sabah selama lebih tiga dekad dan mengingatkan GRS jangan mendabik dada berikutan baru memerintah selama tiga tahun.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama