KOTA KINABALU: Ilham Centre melaksanakan kajian awal pra pilihan raya dimana hasil kajian memperlihatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berada di hadapan berbanding parti lain dengan kelebihan sebagai penyandang Kerajaan Negeri Sabah.
Memetik sumber Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata berdasarkan dapatan kajian, terdapat dua faktor utama yang mengukuhkan kedudukan GRS di Sabah.
Antaranya ialah penguasaan sebagai parti pemerintah yang mempunyai akses sumber dan faktor personaliti calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Di Sabah, politiknya agak unik. Walaupun ada isu rentas negeri seperti rasuah atau infrastruktur, pengundi lebih menilai calon di kawasan masing-masing.
"Faktor personaliti dan prestasi penyandang menjadi dominan dalam membentuk sokongan,” katanya.
Selain itu, kajian turut mendapati sokongan terhadap parti lain lebih terarah mengikut kawasan.
Menurutnya, sebagai contoh, dimana Parti Warisan (WARISAN) mempunyai pengaruh di kawasan Pantai Timur Sabah tetapi sukar menembusi kawasan Kadazan, Dusun, Murut (KDMR).
“Bagi Pakatan Harapan pula, kekal dengan sokongan di kawasan bandar utama termasuk Sandakan dan Kota Kinabalu. Bagi Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dilihat lebih kukuh di kawasan KDMR.
“Begitu juga, parti KDM yang diasaskan Datuk Peter Anthony pula mula mendapat perhatian, khususnya dengan gerakan pemimpin seperti ADUN Datuk Wetrom Bahanda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata UMNO-Barisan Nasional (BN) dilihat agak bergelut selepas berdepan isu lompat parti dan kesukaran menarik sokongan pengundi muda.
Kajian juga menekankan bahawa segmen pengundi muda merangkumi mereka berusia antara 18 hingga 40 tahun merupakan faktor penentu.
Katanya, di beberapa kawasan DUN, kelompok ini mencecah sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.
“Segmen muda adalah kelompok atas pagar yang besar. Gagal mengurus atau meyakinkan mereka boleh membawa risiko besar kepada mana-mana parti atau calon untuk melepasi garis kemenangan,” katanya.
Bagaimanapun, kajian tersebut dijalankan sebelum isu tertentu memuncak di Sabah khususnya calon dan prestasi penyandang.
