KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina meminta semua bentuk perhimpunan solidariti ditangguhkan buat sementara waktu sehingga prosiding inkues kematian remaja itu selesai.
Mereka menegaskan langkah itu selaras dengan hasrat ibu Zara, selain bagi mengelakkan risiko sub judice serta gangguan terhadap perjalanan prosiding di Mahkamah Koroner.
“Buat masa ini, marilah kita memberi ruang kepada mahkamah menjalankan tugasnya. Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan tercapai,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut pasukan peguam berkenaan, setakat ini enam saksi sudah dipanggil memberi keterangan dalam prosiding inkues dan pihak mereka berpuas hati dengan perjalanan kes.
Dalam masa sama, mereka turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan orang ramai melalui himpunan solidariti Justice For Zara serta sumbangan dana yang membantu menampung kos perlantikan pakar pelbagai bidang bagi pihak ibu Zara.
Bagaimanapun, pasukan peguam itu menegaskan mereka tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab, susulan beberapa individu yang ditangkap dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan serta komen di media sosial berkaitan gerakan tersebut.
“Kami berpandangan semua bentuk perhimpunan aman wajar ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai... sebarang himpunan solidariti boleh diteruskan selepas itu,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu ditandatangani enam peguam, iaitu Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
