Inkues Zara: Pengawal keselamatan sahkan tiada unsur buli malam kejadian – Azhier

Azhier sewaktu ditemui media di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu selepas selesai prosiding hari yang keenam


KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, terus membuka fakta baharu apabila saksi keenam, seorang pengawal keselamatan sekolah, memberikan keterangan di Mahkamah Koroner pagi tadi.

Peguam bela yang mewakili empat lagi pelajar tertuduh, Azhier Farhan Arisin, berkata keterangan saksi itu mengesahkan tiada sebarang bukti atau petunjuk yang mengaitkan arwah dengan perbuatan buli atau keganasan di asrama.

Menurutnya, saksi berkenaan juga menafikan dakwaan kononnya arwah pernah dimasukkan ke dalam mesin basuh, selain tidak melihat atau mendengar sebarang insiden mencurigakan ketika rondaan pada malam kejadian.

"Ada beberapa perkara daripada keterangan saksi pada hari ini, iaitu pengawal keselamatan yang bertugas pada malam kejadian. Perkara utama yang diberikan, dia mengesahkan bahawa tiada pelajar ditemui di dalam mesin basuh sewaktu ronda dan Zara tidak pernah dimasukkan ke dalam mesin.

"Kedua, dia mengesahkan bahawa sewaktu ronda, dia tidak melihat atau mendengar perkara mencurigakan seperti orang dipukul atau dicerca, semuanya tidak ada,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding.

Azhier menambah, pengawal keselamatan itu juga merupakan saksi awal yang dimaklumkan oleh seorang pelajar mengenai penemuan mayat arwah berhampiran longkang asrama.

"Cuma apa yang terjadi pada malam kejadian, sewaktu rondaan, dia diberitahu oleh salah seorang pelajar bahawa arwah Zara ditemui terjatuh berhampiran longkang, itu antara keterangan utamanya.

"Keterangan saksi ini juga menyatakan tiada unsur buli. Namun kita belum mendengar saksi-saksi lain yang mungkin berada di dalam dorm, tetapi berdasarkan kenyataan saksi ini ketika rondaan, memang tidak ada perkara mencurigakan berlaku," jelasnya.

Beliau menegaskan, berdasarkan keterangan setakat ini, tiada unsur buli dapat dikaitkan dengan kematian pelajar berkenaan.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dijadual bersambung minggu hadapan dengan saksi baharu termasuk seorang doktor forensik dari Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) serta seorang saksi kanak-kanak.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama