TAWAU: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung ucapan berbaur hasutan oleh seorang wanita ketika Himpunan Solidariti 2.0 Justice For Zara, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, setakat ini tiga laporan polis diterima daripada orang awam mengenai ucapan berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, ucapan wanita itu mengandungi kenyataan berbaur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman.
“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan kini giat mengesannya bersama beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.