Ucapan berbaur hasutan di Tawau, wanita ditahan polis

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin.

TAWAU : Polis menahan seorang penuntut universiti tempatan kerana dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan ketika Himpunan Solidarity Justice For Zara di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata wanita berusia 23 tahun dari Papar yang juga pelajar semester tiga Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Beliau berkata, penahanan dibuat susulan 14 laporan polis diterima berhubung ucapan yang dikatakan menyentuh kedudukan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, sambil menegaskan polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama