KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri merangkap pengerusi induk Sambutan Hari Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan mencadangkan untuk mewujudkan undang-undang khas anti-buli yang digelar sebagai ‘Zara Law’.
Katanya, sambutan Hari Sabah pada tahun ini bukan sahaja menjadi simbol perjuangan rakyat negeri, malah turut memberi peringatan agar tragedi menimpa Zara Qairina tidak berulang.
“‘Zara Law’ akan menetapkan hukuman lebih berat kepada pelaku buli, mewajibkan mekanisme pencegahan di sekolah dan institusi, serta memberi perlindungan lebih efektif kepada mangsa dan saksi.
"Undang-undang ini akan menjadi benteng pertahanan kepada anak-anak kita di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Sabah yang bertempat di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.
Sambutan bersejarah itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa perbezaan agama, budaya dan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kemajuan Sabah.
“Sebaliknya, kepelbagaian ini harus dijadikan asas untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan dinamik,” jelasnya.
Menurut beliau, Hari Sabah yang diwartakan pada 31 Ogos bermula tahun lalu menjadi simbol perjuangan, ketabahan dan kesetiaan rakyat dalam membina sebuah negeri yang merdeka dan bermaruah.
“Detik bersejarah ini mengingatkan kita kepada pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan negeri,” jelasnya.
