![]() |
| Datuk Sri Wee Ka Siong sewaktu ditemui media di Oriental hotel di Kota Kinabalu, hari ini. |
KOTA KINABALU: MCA menegaskan komitmen untuk terus bersama Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan semangat muhibah dan kekeluargaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kesemua parti komponen BN perlu bersatu padu memastikan kemenangan dalam PRN akan datang.
“Mesej saya mudah sahaja, kita mahu semua parti komponen BN bekerjasama erat, saling membantu, dan yang penting kita mesti mencapai kemenangan. MCA akan terus bertanding bersama BN sebagai sebuah keluarga yang muhibah.
“Kita rayu sokongan dan doa rakyat Sabah agar memberi keyakinan kepada BN untuk terus memperjuangkan suara mereka,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen MCA Sabah di Oriental Hotel, di sini, hari ini.
Wee berkata, MCA Sabah diberi autonomi penuh untuk menentukan calon dan strategi masing-masing, berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung yang ditentukan oleh kepimpinan pusat.
Katanya, formula itu telah diguna pakai sejak 2018, membolehkan bahagian-bahagian MCA di Sabah menguruskan kepimpinan mereka sendiri dengan lebih berkesan.
“Di Sabah, mereka sudah membuat tapisan dan temuduga calon. Kita pastikan calon yang diketengahkan adalah individu yang berjasa dan aktif di peringkat akar umbi. MCA sudah 35 tahun bertapak di sini, dengan keahlian lebih 36,000 orang yang setia bersama parti.
“Ini kesinambungan perjuangan penting, termasuk membawa masuk generasi muda untuk terus memperkukuhkan agenda politik Sabah,” katanya.
Beliau berkata, MCA Sabah kini bersiap siaga dengan gerak kerja di semua 25 bahagian, malah organisasi parti di peringkat akar umbi telah digerakkan lebih awal.
“Saya yakin dengan persiapan dan kekuatan ini, MCA bersama BN mampu mengatur strategi terbaik untuk menarik sokongan rakyat dalam PRN Sabah nanti,” katanya.
