Melalui tinjaun, harga barangan memang terkawal- Fuziah

 


KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh berpuas hati dengan harga barangan dipamerkan di premis perniagaan terkawal yang menyediakan perkhidmatan Sumbangan Asas Rahmah (MySARA) selepas melakukan tinjauan ke beberapa pasar raya hari ini.

Katanya, melalui tinjauan yang dilaksanakan di dua premis perniagaan iaitu Servay dan CKS Supermarket, harga barangan didapati masih berada pada tahap terkawal, termasuk barangan keperluan yang tersenarai dalam program tersebut. 

“Kami turun padang selepas menerima maklumat kononnya ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga semasa pelaksanaan SARA. 

“Hasil tinjauan, harga barangan kekal terkawal dan ada juga promosi yang memberi manfaat berganda kepada penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melaksanakan pemeriksaan dan advokasi di CKS Supermarket (Millenium) di sini, hari ini. 

Menurutnya, dari 31 Ogos hingga 19 September tahun ini, pihaknya telah menerima 22 aduan di seluruh negara, membabitkan isu harga barang semasa MySARA.

“Di Sabah, hanya satu aduan sahaja berkenaan dengan harga lampin pakai buang,” jelasnya.

Fuziah menjelaskan bahawa terdapat kekeliruan pengguna berpunca daripada harga promosi yang telah tamat tempoh.

“Apabila promosi tamat, harga kembali asal, tetapi ada pengguna menyangka ia kenaikan tidak wajar. Pemeriksaan kami mendapati tiada unsur pencatutan,” ujarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama