Pertukaran agama tidak ubah identiti etnik – Profesor UMS


KOTA KINABALU: Pertukaran agama tidak mengubah identiti etnik seseorang individu kerana etnik ditentukan oleh keturunan, bahasa, budaya dan sejarah, bukan kepercayaan yang dianuti.

Profesor Dr. Asmiaty Amat, berkata kekeliruan antara konsep etnik dan agama sering berlaku dalam masyarakat majmuk, khususnya di Sabah dan wilayah Borneo amnya.

Katanya, kecenderungan menjadikan agama sebagai penanda utama identiti menyebabkan salah tanggapan kerap berlaku apabila seseorang individu menukar agama.

“Sebagai contoh, etnik Tidung lazimnya dikaitkan dengan agama Islam sehingga ada individu daripada etnik lain seperti Murut yang memeluk Islam disalah anggap sebagai Tidung.

Ini juga dikaitkan dengan sejarah dan penyebaran etnik ini sangat luas menjangkau Kalimantan, Indonesia, Sarawak dan Sabah.

“Begitu juga etnik Bisaya di Sabah yang beragama Islam walaupun mereka sebenarnya dalam rumpun Dusunik, ” katanya ketika dihubungi.

Dr. Asmiaty menjelaskan, keadaan itu lebih kompleks apabila perubahan istilah etnik berlaku dalam konteks negara lain.

“Di Brunei misalnya, Murut diberikan kepada kelompok etnik yang tidak beragama Islam di pedalaman seperti etnik Lun bawang atau Lundayeh sedangkan di (Sabah mereka adalah etnik lain). Dan ada ketikanya mereka yang memeluk Islam digelar sebagai Melayu Brunei,” katanya.

Menurutnya, fenomena sama juga dapat dilihat di Semenanjung sejak dahulu lagi apabila mualaf dikatakan ‘masuk Melayu’, bukannya memeluk Islam.

“Namun hakikatnya, agama boleh berubah, tetapi etnik kekal kerana ia warisan kolektif yang tidak boleh dipinda.

“Malah, dalam sistem pendaftaran rasmi Malaysia, kaum ditentukan berdasarkan keturunan dan bukannya agama,” katanya.

Beliau berkata, pemahaman akademik yang jelas mengenai perbezaan etnik dan agama amat penting untuk mengelak salah tanggapan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.

Dr. Asmiaty aktif menjalankan penyelidikan dalam bidang kajian budaya dan kesusasteraan etnik Sabah, khususnya meneliti aspek budaya Kadazandusun, Murut, Bajau serta komuniti peribumi lain di Borneo melalui pendekatan sastera dan kritikan budaya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama