Inkues Zara: Peguam ibu Zara persoal patung simulasi tiada sendi

Rizwandean (tengah) bersama Shahlan (kiri) dan (Nizam) kanan sewaktu ditemui media di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.


KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini dimaklumkan patung yang digunakan dalam simulasi jatuhan sebelum ini bukan patung uji pelanggaran atau crash test dummies sebenar.

Peguam ibu Zara, Rizwandean M Borhan, berkata saksi kelima mengakui patung itu tidak mempunyai sendi (joints) seperti patung ujian khas yang digunakan dalam kajian biomekanik.

"Kami bertanya sama ada beliau tahu tentang Anthropomorphic Test Devices (ATD) atau crash test dummies yang bersendi.

"Namun dia mengatakan tidak tahu. Patung yang digunakan hanyalah manekin keras tanpa sendi," katanya.

Menurut Rizwandean, pihaknya turut bertanya sama ada saksi itu pakar dalam bidang fall biomechanics (pakar biomekanika).

Katanya lagi, saksi mengakui bukan pakar dalam bidang berkenaan.

Selain itu, Rizwandean merujuk keterangan seorang doktor semalam yang menjelaskan arwah mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

Jelasnya, ia berdasarkan laporan imbasan radiologi yang dilakukan selepas kejadian.

“Doktor berkenaan menyatakan terdapat hematoma atau pendarahan dalaman di bahagian vertex iaitu titik paling tinggi pada tengkorak.

"Namun beliau turut menegaskan tiada kesan bar code (kecederaan berulang) ditemui pada tubuh arwah Zara,” katanya.

Prosiding hari ini turut menyentuh arahan Hakim Koroner yang melarang seorang saksi pengawal keselamatan berhubung dengan orang awam atau saksi lain kerana keterangannya masih belum selesai.

Peguam ibu Zara, Shahlan Jufri, menegaskan arahan itu penting bagi memastikan perjalanan inkues tidak dipengaruhi faktor luar dan perlu dipatuhi semua pihak.

“Selagi keterangan saksi pengawal keselamatan belum selesai, mereka tidak dibenarkan berkomunikasi mengenai inkues ini. Itu arahan hakim, bukan daripada kami,” katanya.

Prosiding pagi tadi dimulakan dengan keterangan saksi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan simulasi menggunakan patung setinggi 180 sentimeter.

Rizwandean berkata pihaknya mempersoalkan penggunaan patung itu kerana ia jauh lebih tinggi berbanding arwah Zara yang hanya mempunyai ketinggian 153 sentimeter.

Esok, prosiding dijadual bersambung dengan lawatan ke lokasi kejadian bersama Hakim Koroner dan pihak mahkamah.

Namun, hanya dua peguam daripada setiap pihak dibenarkan menyertai lawatan kerana kawasan sekolah yang terhad.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama