Dua sahabat edar dadah dipenjara seumur hidup

Azman Muhammad Zim (dua dari kiri) bersama sepupunya Mohd Fazrul Baharin (kanan) dipenjara seumur hidup dan 12 sebatan atas kesalahan mengedar 105.2 gram, Januari tahun lalu. Foto | SS

TAWAU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 105.2 gram, tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu terhadap Azman Muhammad Zim, 39, dan Mohd Fazrul Baharin, 35, selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang mempunyai pertalian keluarga (sepupu) dengan niat bersama didakwa mengedar dadah berbahaya itu di kawasan Jeti Felda Umas, kira-kira jam 6.35 petang, pada 31 Januari 2024.

Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Duncan dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh hanyalah bersifat penafian semata-mata tanpa sebarang keterangan saksi untuk menyokong dakwaan mereka.

“Walaupun mereka mendakwa ada membuat laporan polis berhubung kehilangan barang peribadi, namun laporan itu hanya dibuat setahun selepas tangkapan dan jelas dianggap sebagai "afterthought" (keterangan terkebelakang).

“Begitu juga dengan dakwaan kononnya mereka diperangkap pihak polis serta kewujudan seorang individu dikenali sebagai ‘Rajih’ yang dikatakan hadir di jeti untuk membaiki bot hanyalah satu keterangan terkebelakang dan tidak menjejaskan kes pendakwaan," katanya. 

Sepanjang perbicaraan bermula 10 Julai lalu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memanggil lima saksi, manakala pembelaan hanya menampilkan kedua-dua tertuduh tanpa sokongan saksi lain.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 31 Januari 2024.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohd Chinki.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama