KOTA KINABALU: PKR Sabah mengecam Parti Warisan (WARISAN) kerana didakwa memperlekeh usaha kerajaan serta penjawat awam dalam menangani isu banjir, konsesi air dan projek Lebuhraya Pan Borneo.
Menurut kenyataan Pejabat Penerangan PKR Sabah, WARISAN selaku parti komponen kerajaan MADANI dan mempunyai seorang Timbalan Menteri Persekutuan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat.
Katanya, usaha membantu mangsa banjir adalah tanggungjawab bersama kerajaan, NGO, komuniti setempat dan parti politik.
"Penjawat awam adalah barisan hadapan yang menjadi ‘first responder’ setiap kali bencana berlaku.
"Jangan sesekali memperlekeh jasa dan pengorbanan mereka,” katanya.
Kenyataan itu menjelaskan, selepas penamatan konsesi loji rawatan air ketika WARISAN memimpin kerajaan negeri, kegagalan menyediakan pelan peralihan jelas menyebabkan bekalan air terjejas hingga kini.
“Kerajaan GRS-PH terpaksa menyelesaikan isu berkenaan di luar mahkamah bagi mengelakkan pampasan lebih besar serta memastikan operasi loji tidak terganggu.
"Tuduhan kononnya langkah ini bertujuan ‘membersihkan isu lama’ adalah tidak bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu.
Fokus kerajaan kini, katanya, adalah membaiki infrastruktur air, memperkukuh sistem audit serta memastikan skandal lama tidak berulang.
Mengulas isu Pan Borneo, PKR Sabah menegaskan WARISAN tidak boleh berlepas tangan kerana pembatalan model rakan pelaksana projek (PDP) dibuat sendiri Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 2020.
“Selepas pembatalan itu, kelemahan penyelarasan dan ketiadaan model kewangan alternatif menyebabkan projek tergendala, sekali gus menangguhkan manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.
Kini, Kerajaan MADANI bersama Kerajaan Negeri Sabah memberi komitmen penuh mengembalikan semula momentum projek itu demi manfaat rakyat.
Kenyataan itu turut menegaskan, rakyat tidak mahu lagi disajikan dengan polemik politik, sebaliknya menuntut penyelesaian segera terhadap isu asas seperti banjir, air dan infrastruktur.
Menurutnya, PKR Sabah akan terus memastikan peruntukan sampai kepada mangsa, infrastruktur asas dipulihkan dan projek pembangunan utama berjalan lancar.
“Kami mengajak semua parti, termasuk WARISAN, untuk bersama menyokong usaha kerajaan serta penjawat awam di lapangan.
"Inilah masa untuk bersolidariti dengan rakyat, bukan menambah keresahan dengan tuduhan tidak berasas,” katanya.