Surau Abu Hassan, berinspirasikan Songkok Recca bakal jadi tumpuan baharu di Tuaran

 

TUARAN: Surau Abu Hassan Ar-Raudhah yang baru siap dibina di sini mencuri perhatian dengan reka bentuk kubahnya yang diinspirasikan daripada ‘songkok recca’, simbol tradisi masyarakat Bugis di Sabah.

Pengerusi jawatankuasa sambutan perasmian surau Ar- Raudhah, Dr. Abdullah Bade berkata, idea itu tercetus pada Julai 2023 sebelum terbina sepenuhnya pada 22 Mac lalu.

“Kami berpandangan songkok recca adalah identiti unik komuniti Bugis di Sabah yang wajar diketengahkan. 

“Maka, kami memilih untuk menjadikan elemen itu sebagai ilham kubah Surau Abu Hassan Ar-Rodha,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Perasmian surau berkenaan, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, surau bernilai RM1.4 juta itu merupakan fasa pertama daripada keseluruhan kompleks yang akan menempatkan homestay, kedai dan dewan serbaguna.

“Buat masa ini, empat daripada tujuh kubah siap dibina dan baki tiga lagi akan kami siapkan pada fasa kedua. Surau ini sendiri sudah siap sepenuhnya dan mampu memuatkan sehingga 850 jemaah pada satu-satu masa,” jelasnya. 

Menurutnya, projek ini dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai dari seluruh Malaysia khususnya di Sabah. 

Apabila siap kelak, kompleks berkenaan dijangka menjadi pusat ibadah, komuniti dan pelancongan budaya. 

“Kami mahu Surau Abu Hassan menjadi satu lagi ikon daerah Tuaran selain mercu tanda sedia ada, di samping mempromosikan warisan Bugis kepada generasi muda dan pelawat,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama