KOTA KINABALU: Pemimpin tempatan digesa menyalurkan bantuan tunai sekali beri RM100 MySara yang diterima mereka kepada golongan kurang bernasib baik.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif itu sudah digerakkan pemimpin di beberapa tempat, dan di Sabah beliau sendiri tidak mahu melepaskan peluang untuk turut membantu masyarakat melalui bantuan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menunaikan perkara itu dengan menebus bantuan menggunakan MyKad di Pasar Raya Bataras, Kolombong, semalam.
Beliau kemudian membeli pelbagai barangan keperluan sebelum menyerahkannya kepada sepasang warga emas yang ditemui sedang membeli belah di lokasi sama.
Pengerusi PKR Sabah itu berkata, arahan juga sudah diberikan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan serta pemimpin yang memegang jawatan dalam agensi berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat negeri dan Persekutuan supaya melaksanakan inisiatif sama di kawasan masing-masing.
“Setiap daripada mereka akan bergerak membeli barangan keperluan untuk disumbangkan kepada golongan yang lebih memerlukan, terutama kumpulan B40.
“Daripada mempertikai usaha murni Perdana Menteri ini, lebih baik kita jadikan ia peluang untuk membantu mereka yang lebih layak,” katanya.
Menurut Mustapha, program semalam hanyalah pelancaran simbolik, manakala cabang parti lain akan menyusul dalam masa terdekat.
Beliau turut berharap orang ramai, khususnya daripada golongan M40 dan T20, juga sudi tampil mencontohi usaha itu demi kesejahteraan bersama.