Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, membuat pengumuman itu secara mengejut ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah di bangunan parti itu, di sini, pada Khamis.
Beliau pada awalnya merujuk kepada gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengelakkan pertandingan tiga penjuru antara BN, PH dan GRS pada PRN Sabah ke-17, sebelum sebuah jawatankuasa teknikal dengan wakil daripada tiga gabungan itu ditubuhkan.
“Beberapa siri perbincangan dalam jawatankuasa teknikal telah diadakan sama ada di Kota Kinabalu mahupun Kuala Lumpur.
“Merujuk kepada perbincangan tiga pihak itu dan selepas meneliti semua fakta serta butiran, kepimpinan UMNO memutuskan untuk mengekalkan hubungan sedia ada antara BN dan PH.
“Namun, kami juga telah membuat keputusan muktamad bahawa BN dan UMNO Sabah tidak akan membentuk sebarang kerjasama dengan GRS,” katanya.
Ahmad Zahid kemudian bangun secara bersahaja sambil berkata kepada wartawan, “Ini yang anda semua mahu tahu, kan?”, sebelum meninggalkan bilik sidang media.
Turut hadir, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama pimpinan UMNO Sabah lain.