Pelan Pembangunan SMJ 1.0 capai 94 peratus sasaran awal sepanjang 2024

 

Tun Musa (tengah) menerima laporan hala tuju SMJ 1.0 daripada Datu Rusmadi.

KOTA KINABALU : Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 merekodkan pencapaian 94 peratus daripada sasaran awal pelaksanaan pelan pembangunan sepanjang tahun 2024.

Ketua Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai berkata pencapaian itu membuktikan usaha kerajaan negeri berada pada landasan yang betul dalam membawa pembangunan seimbang kepada rakyat termasuk dari aspek modal insan.

“Apapun yang kita hasratkan tidak akan tercapai tanpa sokongan sumber manusia yang berilmu dan terpimpin.

''Justeru, penekanan terhadap pembangunan modal insan amat penting untuk menjayakan pembangunan yang seimbang di negeri ini,” jelasnya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada Isnin.

Kunjungan itu diadakan bagi menyerahkan laporan pencapaian SSMJ 2024 dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Tun Musa bagi memastikan momentum pembangunan yang positif dapat diteruskan pada hala tuju SMJ 2.0.

Berdasarkan laporan SMJ 1.0, Kerajaan negeri  membelanjakan RM848.26 juta sepanjang tahun 2021-2024 meliputi semua Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

Menerusi Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2025 pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM485 juta untuk membangunkan inisiatif berkaitan pembangunan modal insan menjadikan perbelanjaan Kerajaan Negeri mencecah RM1.33 billion sepanjang tempoh tersebut.

Sekretariat Sabah Maju Jaya ditubuhkan pada 5 Oktober 2020 di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) manakala Pelan Pembangunan SMJ 1.0:2021-2025 dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Sabah pada 29 Mac 2021.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama