![]() |
Hafizuddeain (kiri) dan Hartiah (kanan) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Program Kasih Bertaut di Pintu Hidayah yang julung kali dianjurkan oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia (TDM) menghimpunkan 50 pasangan saudara baru dari Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh jati diri serta kefahaman Islam.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, program ini adalah inisiatif pertama bagi membimbing anggota dan pasangan yang baru memeluk Islam supaya tidak terabai selepas pengislaman mereka.
"Ini sebahagian daripada usaha-usaha kita untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga kita.Khususnya, bagi anggota-anggota dan pasangan yang baru masuk Islam, kita nak bimbing mereka.
"Kerana kita tak mahu mereka ni kita dah ajak masuk Islam tapi dibiarkan terabai tanpa bimbingan sebagainya. So, I want to set a platform so that mereka ni ditunjuk ajar, diberi bimbingan oleh dan diberi kesedaran oleh penceramah-penceramah kita yang boleh meningkatkan kesedaran mereka.
"Supaya mereka lebih dekat dengan Islam. Something yang diinspirasi kepada rakan-rakan yang lain,"katanya ketika ditemui media selepas Program Kasih Bertaut di Pintu Hidayah, pada Selasa.
Sementara itu, Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Datin Seri Hartiah Hamzah berkata program berkenaan lahir daripada kesedaran terhadap keperluan bimbingan asas kepada saudara baru selepas memeluk Islam.
"Program ini memberikan bimbingan asas Islam secara lebih dekat, termasuk pengajaran bacaan surah Al-Fatihah dengan betul, tatacara wuduk, serta sesi interaksi bersama pasangan.
“Saya berharap ia dapat dijadikan pemangkin dan diteruskan di peringkat formasi-formasi lain di seluruh negara,” jelasnya.
Program selama tiga hari yang berlangsung mulai hari ini sehingga 4 September turut mendapat kerjasama Syarikat Munawareen Holdings Sdn Bhd, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Islam Sarawak.
Antara Pengisian termasuk pengenalan Islam yang dibimbing oleh ustazah berpengalaman bagi memantapkan spiritual dan meningkatkan kefahaman dan menyebarluas ilmu pengetahuan ajaran Islam dalam kalangan ahli saudari muslim BAKAT.
Program tersebut dijangka menjadi acara tahunan BAKAT dan Tentera Darat dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan anggota terus terpelihara, di samping mengukuhkan semangat ukhuwah di kalangan saudara baru.
Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Tengku Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman serta Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)