![]() |
Christina ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Padang Merdeka pada 16 September ini dijangka meriah dengan pelbagai acara menarik termasuk pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, sambutan tahun ini lebih istimewa dengan pelbagai acara menarik telah dirancang yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung termasuk masyarakat setempat dan pelancong.
“Setiap tahun Sambutan Hari Malaysia amat istimewa kerana memperingati pembentukan Malaysia, sama ada di Semenanjung, Sarawak ataupun di Sabah, kita semua meraikannya bersama.
“Kita menanti-nantikan program yang penuh warna-warni dengan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik, manakala pertunjukan bunga api akan menjadi kemuncak sambutan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.