![]() |
Foto ihsan Bomba |
KENINGAU: Seorang pekerja Sabah Electricity (SE) yang hilang sejak tiga hari lalu selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Nuntunan Apin-apin, di sini, ditemui lemas petang tadi.
Mayat mangsa berusia 35 tahun itu ditemui jam 6.18 petang oleh pasukan pencarian di kawasan sungai Kampung Liau Laut, kira-kira 40 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, berkata mangsa ditemukan pasukan Galen Star yang turut serta dalam operasi pencarian sebelum dibantu anggota bomba untuk dibawa ke daratan.
"Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebelum penemuan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menumpukan pencarian di kawasan Kampung Linsudan selepas penemuan sepasang kasut dipercayai milik mangsa di sungai berkenaan, kira-kira 21 kilometer dari lokasi asal kejadian.
"Operasi SAR hari ketiga bermula jam 9 pagi dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Unit dron turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam pada 16 September lalu, mangsa bersama dua rakan setugas masing-masing berusia 24 dan 38 tahun cuba menyeberangi jambatan ketika hujan lebat serta arus deras.
Namun, mangsa yang ketika itu memakai vest SE dipercayai tergelincir sebelum dihanyutkan arus, manakala dua rakannya sempat menyelamatkan diri.