KOTA KINABALU: Pakar forensik dokumen mula menjalankan tugas bagi meneliti bahan bertulis yang didakwa milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pihak peguam bela ibu Zara, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh memaklumkan, Dr Linthini merupakan pakar forensik dokumen yang dilantik bagi memeriksa dokumen yang telah ditender sepanjang dua hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan tersebut memberi tumpuan kepada aspek kesahihan dokumen (authenticity) dan pengesahan penulis (authorship), sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada mahkamah.
“Selepas selesai pemeriksaan, beliau akan menyediakan laporan dalam masa terdekat,”katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding inkues selesai, semalam.
Nizam turut menambah bahawa masih terdapat beberapa dokumen yang belum dapat diakses kerana berada dalam simpanan saksi pakar DNA untuk tujuan analisis.
“Antara dokumen itu ialah buku bertajuk Love and Peace yang sebelum ini diserahkan kepada polis sebagai bahan bukti.
“Buku itu kini berada dalam jagaan saksi pakar DNA bagi melengkapkan laporan, sebelum dapat diperiksa oleh pakar forensik dokumen,” tambahnya.
Dalam prosiding sama, keterangan saksi kelapan yang juga merupakan Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha (SMKATDML) akan bersambung hari ini.