PUTRAJAYA – Genap penantian selama 16 tahun, pasukan debat dari Sabah akhirnya muncul johan Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan peringkat kebangsaan 2025 yang berlangsung di Pusat Transformasi Ilmu (PeTah), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kejayaan itu disifatkan sebagai pencapaian luar biasa memandangkan pasukan terbabit berdepan pelbagai cabaran sebelum pertandingan, termasuk bencana banjir dan tanah runtuh yang menjejaskan bekalan elektrik serta capaian internet di negeri Sabah, baru-baru ini.
Menurut Anis Malaeka Husni,15, keadaan tersebut menyukarkan mereka untuk menjalani latihan secara dalam talian. Malah, persediaan intensif hanya dapat dilakukan beberapa hari sebelum pertandingan, dengan banyak tugasan tertunda akibat gangguan tersebut.
“Walaupun berdepan kekangan, kami tidak menjadikan itu alasan. Kami cuba mengatur strategi latihan sejak sebulan lalu dengan mengadakan sesi debat persahabatan, selain menekankan aspek adab dan ketahanan mental,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
![]() |
detik manis pasukan debat Sabah ketika menerima hadiah kemenangan Peringkat Kebangsaan di Putrajaya |
Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa pelajar Sabah mampu bersaing di pentas kebangsaan dan setanding dengan negeri lain.
“Harapan kami adalah agar Sabah tidak putus waris dalam dunia debat. Semoga kemenangan ini menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk terus melakar kejayaan,” ujar Noraeezma Mada All Joharie,15, yang juga merupakan ahli pasukan Sabah.
Pasukan ini membawa pulang piala iringan, piala pusingan serta cek bernilai RM12,000 yang ditaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ahli pasukan dari SMK Tawau iaitu Anas Humairah Suwardi, 15, Anis Malaeka Husni, 15,Noraeezma Mada All Joharie,15 dan Nur Safa Natasyah Aaharuddin, 15.
Dua pelajar dari SM Sains Sabah iaitu, Nur Aisyah Jasrin dan Siti Ellysha Jaimis. Masing-masing berusia 16 tahun.