Pakar Psikologi laksana profil Zara Qairina, bantu inkues kes kematian

 

KOTA KINABALU: Seorang pakar psikologi akan menjalankan penilaian latar belakang ke atas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bagi membantu prosiding inkues berkaitan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan (TDML) itu.

Penilaian itu bertujuan menyediakan profil keperibadian remaja berkenaan, sekali gus membantu mahkamah memahami keadaan mentalnya sebelum kejadian berlaku.

Peguam yang mewakili ibu Allahyarhamah, Shahlan Jufri, berkata proses itu akan merangkumi sesi temu bual bersama ibu mangsa, rakan-rakan dari sekolah rendah dan menengah serta guru-guru yang pernah mengajar mangsa.

“Selain itu, pakar berkenaan turut akan meneliti buku dan diari milik Allahyarhamah yang telah dikemukakan kepada mahkamah sebagai bahan sokongan bagi proses profiling,” katanya ketika ditemui selepas prosiding inkues di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahlan berkata pihaknya turut melakukan lawatan ke bilik asrama yang pernah dihuni Zara bagi meneliti keadaan sekeliling termasuk susun atur katil yang digunakan mangsa.

Prosiding inkues bersambung esok dengan pengawal keselamatan sekolah serta seorang lagi doktor dijangka tampil memberi keterangan sebagai saksi keenam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama