Pakar psikologi kerajaan dicadang kerana pro bono – Ram Singh

Ram Singh sewaktu ditemui wartawan di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, selepas prosiding inkues hari ke-6

KOTA KINABALU: Peguam bela, Datuk Ram Singh, mencadangkan agar pakar psikologi forensik kerajaan dilibatkan bagi menilai keadaan mental Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, memandangkan penilaian itu boleh dilakukan secara pro bono (tanpa bayaran).

Beliau berkata, cadangan itu dibangkitkan bagi memastikan penilaian profesional dapat dijalankan tanpa menambah beban kewangan kepada pihak terlibat.

"Kami mencadangkan psikiatri forensik kerajaan kerana ia dilakukan secara pro bono.

"Pihak lain juga mahu melibatkan pakar psikologi untuk profil mental, itu hak mereka," katanya selepas prosiding inkues, hari ini.

Ram Singh menegaskan penilaian mental Zara adalah penting memandangkan kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi di sekolah berasrama penuh.

"Keadaan mental mangsa pada waktu itu perlu dinilai secara mendalam oleh pakar," ujarnya.

Beliau menambah, Koroner telah mengambil maklum permohonan tersebut dan menyatakan isu itu akan disimpan sebagai tertangguh (in abeyance).

"Kami anggap ia satu respons yang baik," jelasnya.

Selain itu, Ram Singh berkata, keterangan Dr. Jessie Hiu pagi tadi juga mengesahkan kecederaan di belakang kepala mangsa konsisten dengan jatuhan ke belakang ke arah longkang.

Manakala simulasi menggunakan patung mendapati kedudukan jatuhan sepadan dengan foto bukti.

Inkues kematian Zara Qairina akan bersambung esok di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama