Inkues Zara Qairina: Dua patung digunakan dalam simulasi jatuhan di lokasi kejadian

 


PAPAR: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini menyaksikan demonstrasi di lokasi kejadian menggunakan dua patung dengan pemberat air seberat kira-kira 53 kilogram yang menyerupai fizikal arwah.

Menurut peguam bela yang mewakili salah seorang pesalah kanak-kanak, Datuk Ram Singh berkata, patung berkenaan diuji dengan pelbagai cara termasuk tolakan dan tanpa tolakan. 

“Patung yang digunakan bukan 'crash test dummy' sebenar, sebaliknya hanyalah patung keras berongga tanpa sendi. 

“Ia hanya sebagai simulasi untuk menunjukkan kesan impak ke tanah, bukan bagi menggambarkan ketepatan kepadatan tubuh manusia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi prosiding demonstrasi, di sini, hari ini.

Ram Singh turut ditanya pemberita mengenai perincian kejadian selepas simulasi jatuhan patung itu dijalankan.

“Patung tidak sama seperti tubuh manusia, tidak sama ketumpatan daging dan tulang. Patung berongga, jadi sudah tentu rosak teruk,”ujarnya.

Menurutnya, simulasi jatuhan itu turut mengambil kira persekitaran lokasi termasuk jeriji dan mesin basuh di kawasan berkenaan. 

Ram turut menegaskan bahawa locus in quo (lawatan ke lokasi kejadian) amat penting dalam mana-mana kes jenayah. 

“Sudah tentu, bagi mana-mana kes jenayah serius, locus in quo amat penting, bukan sahaja untuk kes ini tetapi juga bagi banyak kes lain yang pernah saya tangani,” jelasnya. 

Beliau menambah bahawa ujian terdahulu lebih konsisten dengan gambar bukti berbanding demonstrasi hari ini, namun kedua-duanya tetap memberi gambaran jelas bagaimana jatuhan boleh berlaku.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama