KOTA KINABALU: Seorang pesara guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap seorang pakar patologi Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) menerusi laman Facebook, minggu lalu.
Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan akaun Facebook dengan nama profil ‘Amung Kamaruddin’ untuk memuat naik kenyataan berbentuk ugutan pada 4 September lalu, kira-kira jam 11 malam.
Kenyataan berkenaan yang antara lain berbunyi “Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal… bila dia kerja… upah bah… pemandu langgar lari” kemudian dibaca oleh pakar patologi terbabit, Dr Jessie Hiu @ Jessie Dorey Hiu Chen Chen, sehari selepas itu di kediamannya di Taman Luyang, di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat mengganggu mangsa dan merupakan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum mengikut subseksyen 3 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya, selain denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sabah, Lovely Natasha Charles dan Meredith Gilbert, manakala tertuduh diwakili peguam Rizwandean Bukhary M Borhan.