KOTA KINABALU: Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Azhari Abd Sagap, memaklumkan bahawa pelajar A merupakan kawan baik kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Ketika menjawab soalan Peguam Bela Kanak-kanak, Juan Goh, dalam prosiding inkues hari ke-10, Azhari berkata pelajar A pernah mengikuti Zara pulang ke Sipitang pada 12 Julai lalu, selepas sekolah mengadakan gotong-royong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Semasa di unit kecemasan, ibu Zara ada memberitahu bahawa Zara seorang yang ceria di rumah dan rajin menulis.
"Ibu Zara juga mengatakan pelajar A ialah kawan baik Zara kerana tahu mengenai Zara dari A hingga Z,” katanya di hadapan Koroner.
Menurutnya, selepas kematian Zara pada 16 Julai lalu, ibu pelajar A pernah memaklumkan kepadanya bahawa anaknya diganggu oleh ibu Zara, Noraidah Lamat, melalui aplikasi WhatsApp.
Dalam prosiding sama, Azhari turut menegaskan beliau tidak mengetahui Zara pernah dikaitkan secara serius dengan kes kecurian di asrama sebelum kejadian berkenaan, kecuali satu insiden yang berlaku pada Mac lalu.
“Yang saya tahu hanyalah kes pada bulan Mac, seperti yang puan bacakan semalam dalam perbualan Telegram.
"Selain itu, saya hanya dimaklumkan selepas kejadian berlaku,” katanya
Prosiding inkues kematian Zara Qairina bersambung Isnin depan dengan keterangan saksi seterusnya.