![]() |
Barisan peguam keluarga Zara ketika ditemui selepas prosiding, pada Khamis. |
KOTA KINABALU: Sebanyak 27 item bukti baharu yang dirampas polis akan diteliti pasukan pakar dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri, berkata semua dokumen berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Koroner namun proses penelitian terpaksa ditangguhkan berikutan isu teknikal.
“Sepatutnya hari ini pakar mula meneliti bahan tersebut, namun prosiding ditangguhkan.
"Mereka akan berada di sini sehingga esok untuk meneliti sebahagian dokumen, sebelum pulang ke Semenanjung,” katanya ketika ditemui selepas prosiding, di sini.
Menurutnya, dokumen berkenaan adalah sebahagian daripada 27 item bukti baharu yang akan ditanda pada prosiding inkues, termasuk surat dan catatan berkaitan mangsa.
“Anggaran awal, hanya 10 hingga 12 item akan diteliti terlebih dahulu. Baki dokumen lain dijangka dibuka minggu depan oleh saksi dari Jabatan Kimia,” jelasnya.
Prosiding semalam turut menyaksikan saksi kanak-kanak ketiga selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, manakala dua lagi saksi kanak-kanak dijadual tampil hari ini.