Inkues Zara: Tidak mungkin mesin basuh beroperasi dengan beban 53kg – Pakar Patologi

 

Foto ihsan SM.

KOTA KINABALU: “Saya tidak fikir mesin basuh itu boleh dihidupkan dengan beban seberat 53 kilogram,” kata Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Dr Jessie menyambung keterangannya pada hari kedua prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina, yang disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.

Ketika disoal pegawai pengendali inkues berhubung kemungkinan mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh, Dr Jessie menjelaskan bahawa beliau tidak melakukan pemeriksaan terhadap saiz tong mesin berkenaan, namun dimaklumkan berat mangsa ialah 53 kilogram.

“Saya tidak memeriksa saiz tong. Saya dimaklumkan berat badan si mati ialah 53 kilogram. Saya tidak tahu sama ada seseorang dengan berat 53 kilogram boleh muat ke dalam mesin basuh itu.

“Tapi, saya tidak fikir ia boleh dihidupkan dengan berat 53 kilogram. Mesin itu adalah jenis domestik, bukan industri,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Mengulas lanjut, Dr Jessie berkata memang terdapat mesin basuh dibawa ke lokasi asrama bagi tujuan siasatan, namun tidak diperiksa secara menyeluruh.

Beliau juga menyatakan tidak pasti berapa banyak mesin basuh yang ada ketika itu, namun mengesahkan ia lebih daripada satu.

Sementara itu, peguam bela mewakili remaja yang dikaitkan dalam kes berkenaan, Datuk Ram Singh, berkata perkara sebenar perlu dimaklumkan kepada masyarakat.

“Isu mesin basuh telah selesai. Jadi, kita tidak perlu lagi timbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Ogos mengumumkan satu inkues akan dijalankan berhubung kematian Zara Qairina selepas meneliti laporan siasatan polis.

Terdahulu, pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur mangsa digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dilakukan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama