Naik taraf Lapangan Terbang Tawau RM120.9 juta siap 2028

 

TAWAU: Kerajaan meluluskan peruntukan RM120.9 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Tawau yang kini berdepan kesesakan berikutan pertambahan penumpang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata projek yang bermula bulan ini dijangka siap pada 2028 dan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, kerja naik taraf itu merangkumi pembesaran terminal utama dengan penambahan serta pengubahsuaian ruang lantai, pembinaan jambatan udara (aerobridge) dan menaik taraf apron pesawat. 

Selain itu, katanya, turut dijalankan kerja-kerja penambahbaikan sistem penghawa dingin, keselamatan, kawalan akses, lif, eskalator, sistem maklumat penerbangan dan kemudahan lain.

“Projek ini akan meningkatkan kapasiti Lapangan Terbang Tawau daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta penumpang setahun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Tawau, hari ini.

Anthony berkata, lapangan terbang itu menjadi pintu masuk utama ke sektor pelancongan Sabah, sekali gus menjadikan usaha berkenaan penting untuk memperkasa industri pelancongan di Tawau.

“Pembangunan ini bukan sahaja menarik lebih ramai pelancong, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor peruncitan, perhotelan dan pengangkutan. 

"Ia juga akan merancakkan ekonomi biru berikutan kekayaan sumber makanan laut di Tawau untuk dieksport ke luar negara,” katanya.

Lapangan Terbang Tawau mula beroperasi pada 2001 dengan kapasiti 1.5 juta penumpang setahun, namun jumlah itu meningkat hampir dua juta penumpang pada 2024, sehingga menyebabkan kesesakan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama