Inkues Zara: Saksi sahkan wujudnya geng ‘Circle 19’


KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan cerita baharu apabila saksi kanak-kanak kelima menyebut tentang kewujudan kumpulan pelajar yang dikenali sebagai ‘Circle 19’.

Menurut peguam ibu Zara, Shahlan Jufri, saksi memberitahu bahawa ‘Circle 19’ ini terdiri daripada 19 orang pelajar yang merupakan kawan rapatnya sejak awal persekolahan.

“Saksi juga adalah sebahagian daripada geng Circle 19 ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, saksi kanak-kanak ini turut mengesahkan bahawa dia dimaklumkan ada pelajar jatuh dari bangunan asrama dan mengecam pakaian yang dipakai itu adalah milik Zara.

Katanya, dia sempat melihat Allahyarhamah baring di depan rumah warden pada subuh, 16 Julai lalu.

“Namun, dia tidak sempat melihat Zara dinaikkan ke ambulans.

“Selepas itu dia naik dan masuk ke bilik untuk bersiap ke kelas,”jelasnya.

Prosiding akan diteruskan dengan keterangan lanjut daripada saksi kanak-kanak kelima yang ditemani oleh ibunya pada minggu hadapan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama