Kerajaan Pusat, Sabah perlu terus erat – PM

 

TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan Sabah perlu diperkukuh bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela tanpa mengira kaum atau wilayah.

Menurutnya, politik seharusnya berpaksikan perjuangan untuk rakyat, bukannya menimbulkan perpecahan berasaskan perkauman mahupun pertembungan antara Semenanjung dan Sabah.

“Jangan kita bermusuh… Melayu lawan Cina, Dusun lawan Kadazan, Cina lawan India atau Sabah lawan Semenanjung. 

"Kita pilih orang baik, sama ada dari Sabah atau Semenanjung, supaya kerajaan negeri dan Persekutuan dapat berpakat menjaga rakyat,” katanya 

Beliau yang juga Pengerusi PKR berkata demikian ketika berucap pada Program Rapat Umum PKR di Dewan Terbuka Dato Sri Najib, Kampung Merotai Besar, di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat 

Katanya, ia termasuklah pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan i-SARA berjumlah RM15 bilion setahun, kenaikan gaji penjawat awam selepas 12 tahun serta langkah penjimatan melalui pemotongan 20 peratus gaji menteri dan timbalan menteri.

"Sabah dan Sarawak turut menjadi keutamaan dalam dasar kerajaan, antaranya mengekalkan harga diesel walaupun berlaku pelarasan di Semenanjung selain memberi perhatian kepada isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Isu asas rakyat seperti bekalan air, projek tebatan banjir dijangka siap 2028 serta agihan pembangunan juga terus diberi perhatian,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut memperkenalkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, yang kembali diberi amanah untuk berkhidmat di Sabah.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka selewat-lewatnya November ini, beliau menegaskan pemilihan calon mestilah berdasarkan kemampuan memperjuangkan aspirasi rakyat.

“Kalau wakil itu dari Merotai, dia mesti ada semangat cinta kepada orang Merotai, namun tetap mewakili semangat rakyat Sabah dan Malaysia seluruhnya,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama