KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengambil tindakan tegas terhadap beberapa murid yang terbabit dalam salah laku buli di sebuah sekolah di negeri ini dengan mengenakan hukuman gantung sekolah.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan tindakan segera telah diambil berdasarkan peraturan disiplin sedia ada.
“JPNS tidak akan berkompromi dalam isu buli kerana keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah perlu sentiasa dipelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata selain digantung sekolah, murid yang terbabit juga telah dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling bagi tujuan intervensi serta pemulihan.
“Langkah ini diambil bukan sahaja untuk memberi pengajaran tetapi juga memastikan murid terbabit mendapat bimbingan yang sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, JPNS akan terus memantau dan memperkukuh usaha pencegahan bagi memastikan budaya buli tidak berakar umbi dalam kalangan pelajar di Sabah.
