KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, hari ini mempengerusikan mesyuarat tergempar di Sri Gaya berhubung gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang melanda Pantai Timur Sabah sejak semalam.
Mesyuarat itu diadakan susulan kejadian menara penghantaran elektrik 275kV Kolopis–Segaliud di Kampung Sarapung, Penampang, runtuh selepas dilanda tanah runtuh ekoran cuaca buruk.
Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof yang juga komander krisis bagi kerja-kerja pemulihan, hadir memberi taklimat berhubung situasi semasa.
Turut sama menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.
Mohd Yusmanizam memaklumkan, pasukan krisis SE kini sudah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja penyambungan semula talian Kolopis–Segaliud.
Katanya, kerja pemulihan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua hari, bergantung kepada keadaan cuaca.
Hajiji dalam pada itu menegaskan agar kerja-kerja pemulihan dijalankan dengan berhati-hati meskipun keutamaan adalah untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan.
“Saya faham kerja-kerja pemulihan ini amat mencabar, dan kita mahu ia siap segera. Namun pada masa sama, keselamatan pekerja diutamakan,” katanya.
Beliau turut mengarahkan SE untuk sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai serta memantau keadaan di lapangan memandangkan cuaca buruk masih berterusan.
