![]() |
| KETIBAAN...Noorrul Azril (tengah) mengiringi Rudy (tiga dari kiri) ketika tiba di perkarangan Pos Pengawal Kem Lok Kawi diiringi nyanyian Lagu TD oleh Platun Tambor 3 RAMD. |
KOTA KINABALU: Lawatan Timbal Balas Panglima Komando Daerah Militer (Kodam) VI/Mulawarman, Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) ke Markas Lima Divisyen, Kem Lok Kawi berjaya memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia.
Panglima Lima Divisyen, Datuk Noorrul Azril Ariffin berkata, kerjasama bilateral antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam aspek pertahanan dan keselamatan perlu sentiasa diutamakan.
"Sebagai negara serumpun, kerjasama bilateral antara Indonesia dan Malaysia khasnya dalam aspek pertahanan dan keselamatan harus di utamakan lebih-lebih lagi dalam suasana lanskap geopolitik dan ancaman global yang semakin kompleks dan tidak menentu.
"Kerjasama sebegini adalah penting dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan kedua-dua negara serta rantau ini,"katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan Lawatan Timbal Balas Panglima Komando Daerah Militer (Kodam) VI/Mulawarman, Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) ke Markas Lima Divisyen, pada Jumaat.
Menurutnya, ketika ini kerjasama ketenteraan antara Kodam VI/Mulawarman dan Lima Divisyen Infantri Malaysia telah dapat dilaksanakan dengan baik melalui kawalan perbatasan, latihan bersama serta pelbagai aktiviti libat urus berdasarkan semangat setiakawan yang kukuh.
"Pada ketika ini kerjasama dua hala ketenteraan di antara kodam VI/Mulawarman dan Divisyen Kelima Infantri Malaysia menerusi kawalan perbatasan, latihan bersama serta aktiviti-aktiviti libat urus yang lain telah dapat dilaksanakan dengan baik dan harmoni berdasarkan semangat setiakawan yang utuh.
"Atas asbab ini saya yakin usaha sama yang giat ini dapat diteroka dan diperluas lagi dalam aspek-aspek lain ketenteraan demi manfaat bersama," jelasnya.
Dalam ucapan balas, Panglima Kodam VI/Mulawarman, Mejar Jeneral (Mayjen) TNI Rudy Rachmat Nugraha turut menzahirkan komitmen untuk memperluas kerjasama dua hala antara Tentera Darat Malaysia dan Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD).
Program lawatan berkenaan turut diisi dengan sesi perbincangan rasmi, tayangan video korporat Lima Divisyen serta pertukaran cenderahati sebagai simbol penghargaan dan komitmen bersama antara kedua-dua pihak.
Lawatan tersebut merupakan kesinambungan daripada pertemuan sebelumnya di Markas Kodam VI/Mulawarman, Balikpapan, pada April lalu sekali gus mengukuhkan hubungan diplomasi ketenteraan di antara kedua-dua angkatan darat berkenaan.
Turut hadir, Komander Resimen Induk (Danrem) 092 Maharajalila, Brigjen TNI, Mohammad Sjahroni, Panglima Briged Kelima Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zamri Abdullah, Panglima Briged ke Tigabelas Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Jagjit Singh Indar Singh serta Komander Artileri Divisyen, Lima Divisyen Kolonel Saiful Nizam Che Soh.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
